Khamis, 25 September 2008

Hari Ini Dalam Sejarah

Aku sangat suka. Esok hari jumaat. Aku akan bergerak menuju ke rumah untuk bercuti raya. Aku sangat suka.

Semua manusia suka cuti. Sepatutnya lah. Tiada sebab untuk tidak menyukai cuti. Tak kisahlah cuti sekolah, cuti kerja, cuti-cuti Malaysia ataupun cuti awam. Asal perkataan cuti saja, pasti mendatangkan riang ria. Sebab itu ada rancangan televisyen satu ketika dulu dinamakan ‘alam ria cuti sekolah’. Ada kan? Aku pun tidak berapa ingat.

Sejak dari tingkatan satu, aku sudah tinggal berasingan dengan keluarga. Tidak bermakna berasingan itu jauh. Tingkatan satu hingga tiga, sekolah aku hanya setengah jam perjalanan menaiki kereta. Setiap minggu keluarga aku datang melawat. Jadi perasaan rindu itu jarang timbul. Hanya pada awal-awal sesi persekolahan saja. bila dah lama-lama, nak balik pun rasa malas.

Tingkatan empat, aku bersekolah di negeri bersebelahan. Agak jauh. Tidak membolehkan keluarga aku datang setiap minggu. Tapi waktu itu aku sudah besar. 16 tahun. Dah layak digelar bapa budak. Ditambah lagi dengan berkat membaca Seri Dewi dan Keluarga (rujuk entry sebelum ini), setakat nak menjadi suami dan bapa mithali memang tiada hal. Memang tiada masalah untuk aku tinggal berjauhan. Sudah biasa.

Tamat SPM, aku melanjutkan pelajaran ke negeri jauh sedikit di utara. Kali ini boleh dikatakan jauh. Sehinggakan keluarga aku hanya pernah datang dua kali saja sepanjang 4 tahun pembelajaran aku. Tempoh perjalanan menaiki bas boleh mencecah 8 jam. Jauh bukan? Biasalah, orang kacak memang suka belajar jauh-jauh. itu fakta awam yang wajib diketahui.

Lantas, apabila duduk berjauhan ini, setiap kali waktu cuti memang dinantikan. Kalau dulu aku selalu pulang ke selatan menaiki bas, kini tidak lagi. Ramai rakan-rakan aku yang mempunyai kenderaan sendiri berasal dari tempat tinggal aku. Jadi saja penumpang. Duit tidak dilupa untuk berkongsi duit minyak dan tol.

Lagipun naik bas memungkinkan kita terdedah kepada pelbagai ancaman. Lihat saja berita. Macam-macam kemalangan melibatkan bas ekspres. Ngeri dan minta dijauhkan. Kejadian paling teruk yang pernah menimpa aku sewaktu menaiki bas ekspres ialah tertidur sehingga terlepas destinasi. Tempat yang aku harus turun ialah Bandar Sri Iskandar. Namun akibat tidur yang lena diulit intan, aku hanya tersedar ketika sudah di Lumut. Pasrah saja. Tunggu sehingga pagi untuk menaiki bas tambang patah balik ke Bandar Sri Iskandar. Nasib baik waktu aku tiba di Lumut sudah hampir subuh.

Lebuh Raya Utara Selatan menjadi saksi pelbagai kejadian sepanjang aku dan rakan-rakan menuju ke kampung halaman. Kami pernah menunggu di tepi lebuh raya selama lebih kurang setengah jam gara-gara tersalah menukar tayar. Tengah-tengah malam buta pula tu. Memang terasa gegarannya apabila lori kontena sebesar-besar alam lalu laju-laju di tempat kami tersadai. Tapi suasana agak seronok. Dengan kesejukan malam di tengah-tengah lebuh raya. Terasa macam nak buat video klip lagu rock kapak dulu-dulu. Itupun kalau tak kena langgar dengan lori kontena lah. Tak kan nak buat video klip lagu dengan memaparkan jasad-jasad bergelimpangan akibat dilanggar lori babi. Tragis sangat.

kejadian paling gampang yang pernah berlaku sepanjang aku dan rakan-rakan aku menggunakan lebuh raya utama negara itu adalah semasa pulang ke selatan raya tahun lepas. Seperti biasa aku bersama Tuan Punya Kenderaan dan seorang Penumpang Lain bergerak meninggalkan UTP dengan tenang. Disebabkan waktu itu bulan puasa, tiada bekalan makanan dalam kereta. Kalau ada pun disorok dengan baik. Perjalanan tenang sehingga ke UiTM Shah Alam demi mengambil adik perempuan Tuan Punya Kenderaan. Tiada apa-apa yang berlaku. Hanya sedikit upacara mungkar dilakukan di siang bulan puasa. Jangan risau. Aku tak terlibat. Malas nak ganti puasa di kemudian hari. Apa yang pasti, dalam kenderaan tersebut, hanya aku seorang sahaja yang berpuasa. Tuan Punya Kenderaan dan Penumpang Lain memang lahanat! Cuba menggoda aku dengan sandwich Dunkin Donut. Namun aku tidak goyah.

Kereta kami dengan tenang menyusuri lebuh raya. Borak-borak kasar pengurang pahala puasa juga tidak dilupa. Tiba-tiba..

Kami hanya dapat melihat tiket tol plus itu terbang keluar kereta dibawa angin. Laju dan meyakinkan.

Selepas berhenti di bahu jalan, sekonyong-konyong Tuan Punya Kenderaan pun berkata,

“Bodoh! Tiket tol keluar tingkap la sial! *********************…… (carutan serta makian selama lebih kurang 16 minit. Berpotensi mengurangkan pahala puasa. Sebab itu aku tapis)”.

Penumpang Lain dengan lembut menenangkan Tuan Punya Kenderaan,

“Yang kau tu pergi buka tingkap kenapa? Bengap! Boleh pulak kau letak tiket tol tu dekat atas tu. Manja-manja je kau letak. Tak tindih tak apa. Memang lah terbang! Bodoh!”

Sambil berkata-kata, Penumpang Lain memeluk erat Tuan Punya Kenderaan demi menenangkannya.

Tuan Punya Kenderaan terharu dengan kelembutan Penumpang Lain seraya membalas,

“mana aku tahu dia nak keluar!! *********..”.

lebih laju carutan-carutan dikeluarkan. Namun pelukan erat Penumpang Lain tetap dibalas lembut. Sungguh jelas kasih sayang yang terpancar antara mereka.

Aku? Sikap tenang dan tenteram perlu dikekalkan. Lebih-lebih lagi adik Tuan Punya Kenderaan boleh tahan comelnya. Ada iras-iras kacukan cina.dalam nada tenang dan kacak aku bersuara,

“tulah korang. Ni balasan tak puasa korang lah ni!”

Ringkas, padat, dan penuh dakwah. Adik perempuan Tuan Punya Kenderaan kelihatan terpegun dengan ketenangan aku. Mungkin bibit-bibit cinta mula tumbuh? Aku tak pasti.

Tiada apa yang boleh dilakukan sekarang. Hendak patah balik mencari tiket tol tersebut? Itu kerja yang serius bodoh. Jalan paling terbaik, teruskan saja perjalanan. Bayar saja denda di stesen tol Skudai nanti.

Sebenarnya kesan kehilangan tiket itu tidaklah begitu serius jika kami tidak keluar ke Shah Alam tadi. Sebab kami memulakan perjalanan kami di stesen tol Gopeng, hanya beza beberapa tol sahaja dari stesen Ipoh Selatan. Tapi disebabkan kami sudah keluar di tol Shah Alam, kerugian yang besar terpaksa kami tanggung. Kami terpaksa membayar tol seolah-olah kami menggunakan lebuh raya tersebut dari stesen Ipoh Selatan sehingga ke tol Skudai. Bayaran di tol Shah Alam tadi anggap saja sedekah amal jariah di bulan puasa.

Tiba waktu berbuka, hanya aku seorang saja yang menikmati makanan. Sungguh ironik. Di dalam kenderaan yang mengandungi tiga lelaki dan seorang perempuan Islam, hanya aku seorang saja yang berbuka. Musafir adalah alasan yang diberikan. Tak mengapalah. Kesudian beliau menumpangkan aku tidak boleh dibalas dengan kata-kata dan pelukan manja. Terima kasih Tuan Punya Kenderaan.

Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang ini, aku bagi pihak pendingin hawa ingin mengucapkan selamat hari raya dan maaf zahir batin kepada kamu semua pembaca-pembaca KENCINGKUCING. Pulang ke kampung dengan selamat ya. Dan pastikan tiket tol kamu disimpan baik-baik.

1 ulasan:

Bajet berkata...

Mok selamat hari raya. Minta maaf kalo ada buat salah dan silap.