Jumaat, 1 Mei 2009

Post serious yang mungkin kamu tak akan baca

Tiba masa untuk aku update KENCINGKUCING. Study week dah sampai. Segala presentation dah selesai. Projek-projek hampis usai. Tiba masa untuk aku update KENCINGKUCING.

Aku dulu pernah azam. Waktu awal-awal penerbitan KENCINGKUCING dulu. Nak update setiap kali lepas berak. Namun hampa. Kebanyakan masa aku habis sewaktu cebok berak. Jadi nak update pun tak sempat.

Lepas tu aku azam nak update tiap-tiap minggu. Pun hampa juga. Kesibukan sebagai seorang penidur tegar membantutkan hasrat aku.

Tinggallah KENCINGKUCING terkapar-kapar.

Aku tak ada idea atau hasil-hasil pemerhatian baru untuk dititipkan. Atau mungkin idea-idea itu akan datang ketika aku sedang menaip. Jadi aku akan menaip sampah-sampah dulu sementara menunggu idea-idea tersebut datang. Serius aku tak ada hasil pemerhatian baru yang nak aku paparkan untuk kamu semua. Kepala masih ada sisa-sisa report final year project dengan process design project. Serabut-serabut tinggalan report-report tersebut masih bersemadi dalam kepala otak aku. Perlu 2, 3 hari untuk menyucikan mereka.

Kenapa kita perlu update blog? Untuk orang yang ada blog lah. Kalau tak ada blog, jadah apa nak update?

Selepas beberapa ketika tak update, mula dengar atau baca beberapa suara menyuruh update. Maafkan aku. Aku mahu update. Serius mahu. Tapi aku risau. Risau hasil update aku tidak dapat memuaskan nafsu pembaca-pembaca sekalian. Kalau update aku hanyalah sampah di pinggiran pantai, pasti kamu akan hilang nafsu untuk terus membaca. Kesan jangka panjang daripada itu ialah kamu akan mula membenci KENCINGKUCING, lantas terus tidak menjenguk ke halaman yang indah permai penuh syahdu ini.

Siapa yang tak mahu update blog sendiri? Siapa? Cakap dengan aku. Semua orang mahu. Tapi kesibukan berada di dalam lingkaran kehidupan yang tak tentu hala tuju ini, sedikit sebanyak mencemburui masa aku bersama KENCINGKUCING. Bukan aku tidak cuba untuk meluangkan sedikit dari masa aku untuk KENCINGKUCING. Puas aku cuba. Tapi mungkin cubaan aku tidak cukup perkasa untuk terus memenuhi kehendak masyarakat di sekeliling kita.

Apa aku merepek ni?

Aku agak cemburu melihat rakan-rakan seuniversiti aku dapat mengupdate blog mereka dengan berkisarkan cerita-cerita simple di sekeliling mereka. Walaupun kisah itu simple, tapi hasil dari pengolahan berkat kepala gila yang dianugerahkan, kisah simple itu tetap mampu membuat tulang-tulang osikel dalam perut bergegar ketawa riang gembira alam ria cuti sekolah. Contohnya seperti blog Achan, Nyamouq, Lisa dan nama-nama lain yang aku tidak sebut. Mereka sangat pandai mengolah kisah-kisah simple dalam hidup mereka, menjadikan kisah itu sesuai untuk dimuatkan dalam slot Akasia di TV3 menggantikan Spa Q 2.

Aku? Aku dapati diri aku sukar untuk berbuat demikian. Walaupun aku rasa banyak kejadian-kejadian menarik yg berlaku dalam ruang fana di sekeliling aku, aku tak rasa ianya cukup menarik untuk dimuatkan dalam KENCINGKUCING. Mungkin aku tiada keyakinan diri? Mungkin aku rasa hidup aku cukup dull? Aku pun tak tahu.

Post ini agak serius? Aku memang tengah menaip tanpa seulas senyuman pun di bibir.

Kenapa aku tiada idea sangat ni? Percaya atau tidak, ini sudah masuk hari keberapa post ini hanya dalam bentuk draft. Entah bila nak publish pun aku tak tahu. Belum cukup masak aku rasa untuk post ini dipublishkan. Biarlah dulu bersemadi dalam folder draft.

......................

Mainan perasaan sukar dijangka, kan?

Kadang-kadang perasaan itu datang sendiri. Bukan kita minta. Bukan kita paksa. Dia datang tanpa sedar. Menjenguk ke lubuk hati secara halus. Atau mungkin perasaan itu memang dah lama ada, cuma tuan punya badan yang tidak sedar. Atau buat-buat tak sedar.

Mainan perasaan, kalau dilayan memang seronok. Macam-macam angan-angan luar rasional boleh terbit. Kadang-kadang sampai melampaui batas kemampuan diri. Melampaui batas logik masa dan tempat. Perbezaan pandangan dan cara hidup dipinggirkan. Sedikit persamaan, yang hanya mungkin sangat kecil, diagung-agungkan. Angan-angan disandarkan atas sedikit persamaan yang tak pasti kesahihannya.

Setiap perbuatan cuba ditafsir. Setiap gerak langkah, tutur kata, taipan alam maya, malah mimik muka dikaji. Setiap inci perlakuan, seboleh-bolehnya akan dikaitkan dengan perasaan. Cuba menilik adakah sinar harapan di sebalik setiap ulah dan tingkah. Hasil tafsiran biasanya hanya akan mengecewakan diri. Namun masih cuba untuk menyedapkan hati. Malu mungkin? Segan barangkali? Atau sebenarnya memang tiada harapan?

Namun, atas dasar rasional juga, angan-angan cuba diketepikan. Kewajaran masa depan diutamakan. Bukan masa depan diri sendiri, tetapi bagi pihak berlawanan. Harus sedar di mana bumi berpijak. Perbezaan hidup yang ketara, umpama langit dan bumi, tidak mungkin menjadi mangkin sebuah angan-angan. Jika dengan persamaan yang hanya sebesar hama, mustahil untuk dijadikan asas yang kukuh. Pasti goyah. Kesilapan yang besar akan tercipta.

Hati dan perasaan, memang sukar dijangka.

Lebih elok seperti dulu. Ketawa tanpa apa-apa gelodak perasaan dalam jiwa. Senyum tanpa niat di balik mimik muka. Setiap baris kata tak perlu disusun indah. Untuk apa semua itu? Hanya menyakitkan jiwa.

Dah! Sedar diri sendiri. Sesungguhnya diri sendiri tidak layak untuk sebuah angan-angan.

..............

Serious shit aku tak suka serious-serious. Tapi sekali sekale menaip macam tadi bagus juga. Terluah sikit. Nak simpan sorang-sorang memang kusut masai la bulu-bulu roma aku.

Dah aku nak tidur.

2 ulasan:

bad berkata...

hadoi mok aku dah la ade paper kol 9 ni pjg pulak ko emo..penat aku

pink_butterfly berkata...

hehe...mmg post serius nih...